Rabu, 18 April 2012

Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan Sistem Pemerintahan Negara?



Persenda institusi Raja oleh pemimpina Pakatan!  Setelah terdedah, mereka terdesak cuba menafikannya dan ada pula yang meremehkannya. Setengah-tengah pihak membuat tuduhan bahawa pelapor (Dr Rahman Kadir) berbohong. Paling melucukan bila ada yang tersasul (atau disengajakan) membuat kenyataan UMNO sengaja merancang untuk menipu.

Jika tidak ada angin masakan pohon bergoyang. Peribahasa Melayu mungkin dapat membantu untuk kita memikirkannya. Sejak ada PKR sahaja UMNO dikatakan membuat fitnah. Semua yang memalukan PKR akan dikatakan berpunca dari UMNO. Mudah sungguh mereka melarikan diri dari sebarang kecaman walaupun sememangnya berpunca dari sikap dan perangai mereka sendiri.

Raja Melayu dihina oleh Melayu? Kenapa terjadi demikian? Sudah lupakah asal usul bangsa ini yang beraja dan bersultan sebelum diperkosa oleh British? Bangsa agung di zaman Srivijaya dulu pun mempunyai raja yang memerintah negeri. Apa yang ada dalam minda mereka? Adakah sudah mula berfikir untuk melantik Presiden dan membunuh raja-raja sebagaimana yang dilakukan Indonesia? Hentikalah tabiat buruk ini sebelum dicontohi jenerasi mendatang.


Mesej dari JATI

SAYA ingin mengulas tentang satu berita yang dilaporkan oleh Dr Rahman Kadir, seorang pengamal perubatan tentang tindakan mengejek dan mempersenda pimpinan Negara termasuk Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Dipertua Negeri oleh beberapa tokoh ahli parlimen pembangkang ketika upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada 11 April yang lalu.

Saya menyambut baik cadangan untuk menubuhkan badan penyiasat bagi menyiasat peristiwa yang mencacatkan upacara pertabalan tersebut sehingga ada pihak mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat insiden yang berlaku. Ini menggambarkan seriusnya perkara yang berlaku dari kaca mata berbagai pihak termasuk rakyat di Negara ini.

Bagi saya insiden tersebut sekiranya benar-benar berlaku seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan. Setakat yang saya mengenali individu-individu yang terlibat, mereka memang mempunyai kecenderungan untuk melakukan perkara-perkara yang sukar diterima akal. Ini mungkin hasil dari desakan parti yang mereka wakili dan beberapa golongan di dalam parti masing-masing yang memandang remeh terhadap Institusi Raja. Saya tidak perlu menoleh ke belakang untuk memaparkan insiden-insiden hitam yang pernah berlaku di Perak dan Selangor.

Selama ini mereka juga berbicara mengenai ketaatan kepada raja yang memerintah. Jelas daripada insiden tersebut sekiranya berlaku, ketaatan yang mereka laungkan tidak lebih daripada satu pengucapan yang tidak mempunyai banyak erti. Di hadapan masyarakat Melayu mereka berhujah tentang kepentingan Institusi Raja tetapi yang tersembunyi di hati mereka sebenarnya ialah apa yang dipertontonkan dalam peristiwa pertabalan itu.

Saya dapat merasakan betapa tersinggungnya pihak-pihak yang terlibat yang merupakan golongan yang selama ini dimuliakan dengan berbagai cara yang disusun oleh orang-orang terdahulu. Saya juga dapat merasakan betapa kecewanya rakyat Negara ini mendengar tentang insiden tersebut lantaran rata-ratanya rakyat memahami kedudukan Insitusi Raja dalam Perlembagaan Persekutuan serta apa yang boleh dilakukan oleh institusi tersebut dalam menjamin keutuhan negara.

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang itu (sekiranya berlaku) sesungguhnya merupakan satu tindakan yang keji dan tidak sepatutunya dilakukan oleh mereka yang dipilih oleh rakyat yang sepatutnya menjadi juru bicara kepada mereka. Sayangnya semata-mata atas kepentingan politik yang tidak matang maka ahli-ahli parlimen yang terlibat itu sanggup bertindak sedemikian dengan disaksikan seribu tetamu pilihan termasuk wakil-wakil Negara asing.

Jika benar seperti yang dilaporkan, di mana kewajaran ahli parlimen pambangkang tersebut sehingga sanggup memperleceh, memperlekeh dan menghina pimpinan tertinggi negara dan batang tubuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Yang Di Pertua Negeri. Saya juga tertanya-tanya tentang darjah kesiuman pemimpin pembangkang tersebut yang seolah-olah lupa siapa diri mereka, dalam maji sapa mereka berada dan siapa yang memerhatikan mereka.

Saya yakin cuti upacara khas pertabalan telah membuka ruang kepada segenap lapisan masyarakat tua dan muda termasuk kanak-kanak berada di hadapan kaca TV untuk menyaksikan peristiwa yang bersejarah tersebut. Mereka dapat menyaksikan betapa syahdunya majis tersebut. Mereka juga dapat menyaksikan unsur agama Islam yang jelas terpancar dari awal hingga ke akhir di sepanjang upacara pertabalan. Dalam suasana itu tiba-tiba timbul cerita, ada dari kalangan mereka yang terpelajar, terdidik dan ternama melakukan perbuatan sumbang yang sudah tentu mencacatkan upacara yang diadakan dan sekaligus membabitkan maruah negara.

Bagi saya pendek benar akal dan pemikiran ahli Parlimen yang terlibat. Bagi saya juga golongan seperti ini tidak harus diberi tempat menghadiri majlis-majlis rasmi kerana kegagalan mereka mengawal diri dan menunjukkan akhlak terpuji setanding dengan kedudukan mereka di mata rakyat.

Di sebaliknya, saya menyetujui saranan pihak-pihak tertentu termasuk badan-badan bukan kerajaan dan rakyat yang prihatin untuk menyiasat sedalam-dalamnya peristiwa ini. Saya juga dengan sukacita menyeru supaya insiden ini tidak dibenarkan berlalutan. Perlu adanya tindakan drastik dari pada pihak yang berkuasa. Manusia seperti ini tidak sepatutnya menjadi pilihan rakyat.

Saya tidak dapat menggambarkan seandainya ditakdirkan mereka menguasai Putrajaya, bayangkan apa jenis budaya yang mereka akan cernakan untuk masyarakat Malaysia terutamanya di pihak generasi pengganti. Saya berharap rakyat Malaysia tidak memperjudikan masa hadapan mereka. Insiden yang dilaporkan berlaku sebenarnya bukan insiden yang isolated, tetapi inilah brand budaya baru yang akan mereka terapkan.

Akhirnya saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Dr Rahman Kadir yang telah menimbulkan perkara ini. Saya percaya atas kesedaran sivik yang tinggi doktor perubatan tersebut telah keluar daripada lingkungan perubatan yang dipertanggungjawabkan untuk memaparkan peristiwa hitam yang berlaku kerana bagi beliau perkara tersebut bukan sesuatu yang kecil dan remeh sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang terlibat. Remehkah sesuatu yang berkait langsung dengan sistem pemerintahan negara?

Remehkah insiden yang berlaku itu jika ditinjau dari sudut keberlangsungan sistem Raja Berperlembagan? Akhirnya remehkah insiden itu untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja sedangkan upacara itu adalah sebahagian daripada “the pride of the nation”?

* Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati



Peristiwa Hitam Budaya Kelam

Budaya yang diketengahkan oleh pemimpin negara biasanya akan menjadi contoh ikutan masyarakat banyak. Jika baik, maka baiklah yang akan dicontohi begitu juga sebaliknya.

Pengalaman dijalanan dalam sesi demonstarsi menjadikan sesaorang itu kerap tersasul dalam majlis rasmi. Inilah yang terjadi di Majlis Pertabalan Yang Di Pertuan Agong beberapa hari lalu. 

Azmin dan rakan-rakan PKRnya telah memecah tradisi menjadi individu biadap dalam majlis yang dihadiri oleh jemputan kenamaan termasuk para duta dari Luar Negara. Wajarkah mereka bersikap biadap? Rakyat Malaysia seluruhnya tentu sahaja ikut merasa malu kepada para jemputan kehornat antarabangsa. Akan menjadi tanggapan betapa biadapnya orang Melayu di hadapan raja mereka.

Diharap keaiban sebegini tidak akan berulang.


Laporan Dr Rahman Kadir dalam fb nya:
11 April 2012 mencatat satu sejarah di dalam negara dengan berlangsungnya pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sejarah kerana bukan sahaja ia merupakan pertabalan pertama yang berlangsung di Istana Negara baru, tetapi juga kerana perlantikan baginda sebagai YDPA untuk kali kedua setelah berkhidmat sebagai YDPA yang ke-5 dari 1970 hingga 1975.

Upacara gilang gemilang dan penuh istiadat ini merupakan suatu upacara yang sungguh istimewa kerana ia melambangkan kedaulatan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka serta mempunyai seorang Ketua Utama Negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya bertuah kerana terpilih menyertai pasukan perubatan yang beroperasi semasa istiadat pertabalan berlangsung yang bertujuan memberikan khidmat perubatan kecemasan bagi YDPA serta dif-dif kehormat dan para tetamu baginda sepanjang istiadat berlangsung.

Kami melaksanakan persiapan yang rapi serta rumit bagi memastikan istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda berdua akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden perubatan.

Untuk makluman semua, setiap majlis yang melibatkan YDPA akan diberikan perlindungan perubatan. Kemahiran kami yang beroperasi secara discreet atau ‘sir’ ini hinggakan pihak luar serta orang awam tidak langsung dapat menghidu sebarang insiden perubatan yang berlaku di istana.

Seawal jam 6.30 pagi, pasukan perubatan telah tiba di istana dan set up klinik-klinik di tempat-tempat strategik dan tersembunyi. Petugas-petugas perubatan yang berpakaian mengikut protokol istana sudahpun mengambil posisi masing-masing.

Saya beruntung kerana di tempatkan di dalam Balairong Seri. Ini memberikan saya peluang keemasan untuk menyaksikan istiadat pertabalan Tuanku dengan mata kepala saya sendiri, merasai suasana dan atmosfera pertabalan yang cukup penuh dengan adat istiadat serta protokol yang bukan semua orang dapat merasainya.

Saya duduk bersama dengan para dif-dif kehormat di belakang saf-saf kedutaan negara asing. Duduk di sebelah saya adalah Professor Datuk Dr. Firdaus Abdullah, bekas Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya, TNC saya semasa saya masih seorang mahasiswa Universiti Malaya.

Saya menyapa beliau dan beliau cukup berbangga kerana ‘murid’nya kini adalah merupakan seorang doktor yang duduk sebaris dengan beliau kini.

Malangnya, suasana istana yang murni dicemari dengan perlakuan beberapa orang yang sepatutnya menunjukkan satu contoh tauladan yang baik kepada rakyat Malaysia.

Di belakang saya, suasana cukup bising dengan hilaian ketawa dan apabila saya menoleh ke belakang, rupa-rupanya, ada beberapa ahli parlimen pembangkang yang duduk di belakang saya.

Antara yang saya kenal adalah Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan isterinya Shamsidar Taharin, Tian Chua Naib Presiden PKR, Dr Siti Mariah Mahmud PAS serta beberapa orang lain yang saya tidak kenal nama mereka. Nurul Izzah Anwar, Khalid Samad dan Loh Gwoh Burne duduk jauh sedikit dari mereka. YB Kamalanathan Ahli Parlimen BN dari Hulu Selangor duduk di belakang mereka ini.

Saya amat terkejut dan kecewa apabila melihat mereka mempersendakan serta mengejek-ejek pemimpin negara seawal dari kemasukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ada hilaian ketawa dan bermula dari situ saya mendengar apa yang mereka perkatakan.

Apabila majlis mengumumkan kemasukan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak ke dalam Balairong, mereka cukup berat hati hendak bangun berdiri. Sambil ketawa dan mengejek-ejek, saya mendengar Azmin Ali berkata, “bangun untuk Rosmah, Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia.” Tian Chua menyampuk sama dan menyebut-nyebut “Menteri Wanita” dan hilaian tawa berterusan.

Saya sangka ejekan-ejekan ini hanyalah untuk pemimpin politik sahaja, maklumlah mereka ini (pembangkang) memanglah seteru politik bagi PM. Saya boleh terima, kerana memang mereka saban hari pun berceramah mengejek dan menghina PM.

Alangkah terkejutnya saya ejekan dan gurauan mereka itu berterusan kepada TYT Negeri Melaka dan seterusnya kepada bentuk fizikal beberapa Sultan dan Raja yang masuk secara teratur ke dalam balairong Seri.

Menerusi TV plasma yang ditempatkan, mereka dapat melihat setiap Sultan masuk ke dalam Balairong.

Seolah-olah seperti kanak-kanak di sekolah, mereka mentertawakan penampilan dan fizikal beberapa Sultan. Saya tidak tergamak hendak menulis di sini kerana ia sama seperti menghina baginda semua.

Apabila Sultan Selangor masuk, Azmin yang paling kuat ketawa dan berperangai kebudak-budakan memanggil Tian Chua dan berkata, “Tangan jangan masuk poket….nanti dia marah.” Semua mereka ketawa termasuk Dr Siti Mariah Mahmud sambil Tian Chua terus memasukkan tangannya ke dalam poket seluarnya seolah-olah memberi isyarat, “i don’t care“.

Kemasukan Sultan Perak juga mencetuskan kata-kata biadap yang seterusnya mencetuskan deraian tawa mereka.

Hanya kemasukan Sultan Kelantan sahaja yang mereka puji dengan mengatakan, “Wah! Laju tuanku masuk. Segak dan tampan. Nik Aziz tak boleh kejar” sambil Khalid Samad senyum dengan bangga.
Saya cukup hairan. Mereka semua ini adalah Sultan-Sultan kita. Pegawai-pegawai Kedutaan Asing duduk dengan tertib tanpa bersuara dan jika perlu bercakap hanya berbisik sesama mereka. Begitu menghormati protokol dan adat istiadat. Tetapi, pemimpin pembangkang ini yang merupakan rakyat Malaysia dan bercita-cita besar memimpin negara satu hari nanti, bersikap biadap kepada Raja-raja Melayu. Sebagai Ahli Parlimen dan ADUN yang mengaku taat setia kepada Raja, sewajarnya perangai seperti ini dihindarkan.

Saya dapat melihat para hulubalang istana yang berdiri di tepi balairong bersebelahan mereka cukup terganggu dengan gelagat biadap kumpulan pemimpin pembangkang ini. Jika negara ini tiada undang-undang, ada kemungkinan lembing yang mereka pegang dirodok kepada mereka-mereka yang biadap ini.

Suasana kurang manis ini berterusan sehinggalah majlis bermula dengan rasminya dengan kemasukan Seri Paduka Baginda berdua ke Balairong Seri. Mujurlah selepas dari itu, majlis berlangsung dengan aman dan tenteram.

Tidak semua pemimpin pembangkang yang berperangai sedemikian. Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw misalannya, kelihatan cukup tertib, berdiam diri dan tidak menyertai gurauan-gurauan mereka yang lain malah tidak senyum pun mendengar kata-kata rakan-rakannya. Sikap dan tingkah lakunya di dalam balairong adalah terpuji.

Nasihat saya kepada Azmin Ali, Tian Chua dan angkatannya, jika menghadiri majlis rasmi, berperangailah sebagai manusia yang bertamadun. Janganlah terbawa dengan sikap murahan jalanan anda ke istana. Lihatlah di sekeling sebelum berkata-kata kerana apa yang dipertuturkan mencerminkan sikap dan jiwa anda. Sebagai rakyat, tunjukkanlah kesetiaan dan rasa hormat anda kepada Raja selaku tonggak negara.

Perkara ini tidak perlu saya nasihatkan pun sepatutnya kerana ia perkara asas yang sudah pun termaktub di dalam Rukunegara yang kanak-kanak sekolah pun arif tentangnya.

Semoga Allah SWT panjangkan umur Tuanku dan kekal negara aman dan Islam terus terbela di bawah payungan Tuanku.

Daulat Tuanku.


Dipetik daripada AIDC




Apa Makna Banner Ini?




Tentu ada kaitan dengannya.

baca sini... Malaysian Insider yang menulis tak tentu pangkal cuba menafikan insiden ini berlaku sambil cuba menghalang Suruhanjaya Di Raja. Kenapa takut sangat sehingga cuba nak buat bantahan?

Mudah konklusinya, JIKA MEREKA TAKUT BERMAKNA INSIDEN INI SEMEMANGNYA BERLAKU. Ada yang nafi ada yang nak demo buat bantahan. Kerenah PKR ini amat menyakitkan kepala Warga Negara yang ada tatasusila.

BERETIKAKAH PENULIS INI?


MALAYSIAN INSIDER
MENJIJIKKAN betul bila membaca polemik politik yang cuba ditimbulkan UMNO lanjutan dari dakwaan seorang doktor mamak, kononnya ada beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat antaranya YB Azmin Ali dan YB Tian Chua, mempersenda raja-raja Melayu pada hari pertabalan DYMM Yang Dipertuan Agung pada 11 April lepas.

Dakwaan itu pula setakat ini hanya disokong oleh SEORANG ahli Parlimen BN (asal usul mamak ini juga), dalam majlis yang dihadiri oleh hampir 1,000 orang tetamu!!

Itu yang dikecoh-kecohkan sangat oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi sehingga sampai ke tahap nak mengadakan Suruhanjaya Diraja sangat tu? Penulis kata, amat memalukan bagi seorang ahli politik veteran seperti Zahid Hamidi nak membesarkan isu kecil ini sehingga ke tahap itu.

Justeru, penulis bersetuju dengan cadangan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan membantah penubuhan Suruhanjaya Diraja ini pada 29 April 2012 yang akan datang di hadapan Istana Negara, Jalan Duta.

Dengan sasaran peserta demonstrasi seramai 100 ribu orang, penulis yakin kebangkitan rakyat ini mampu menghalang BN dan UMNO daripada meneruskan hasrat menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu.

Justifikasi untuk mengadakan himpunan itu sangat jelas dan mudah.

Pertama, negara kita bukan seperti negara Thailand yang mana undang-undang berkaitan dengan kes seumpama ini begitu ketat sekali. Sesiapa yang didapati menghina raja mereka, akan dikenakan tindakan undang-undang yang keras. Disini, skop kebebasan bersuara kita adalah lebih meluas lagi dibandingkan dengan Thailand.

Ada banyak isu berkaitan rakyat yang perlu diberi keutamaan dalam soal penubuhan Suruhanjaya Diraja ini. Pakatan Rakyat sendiri telah mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pelbagai masalah membabitkan kepentingan rakyat, antaranya pendatang asing di Sabah, pengeluaran kad pengenalan palsu dan sebagainya, tapi tidak pernah dilayan.

Kedua, sehingga sekarang pun penulis tidak membaca atau mendengar dari mana-mana sumber akan kenyataan DYMM Sultan dan Raja-raja yang menyatakan tidak puas hati mereka kepada perbuatan yang didakwa dilakukan oleh beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu.

Yang lebih-lebih ini UMNO sahaja, tuan punya badan sendiri pun tidak berkata apa-apa.

Ketiga, apa bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Dr. Rahman Kadir tersebut? Setakat menyatakan ‘ada mendengar’, sesiapa pun dalam dunia boleh berkata sedemikian.

Semua ini tidak melayakkan hal sekecil ini dipanjangkan sehingga ke tahap penubuhan Suruhanjaya Diraja, dan rakyat wajib menyatakan bantahan itu dalam bentuk demonstrasi besar-besaran bagi membantah cubaan UMNO mempolitikkan isu ini.

Tapi dalam masa yang sama, penulis menggesan kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dinamakan dalam dakwaan itu agar tampil memberikan penjelasan, apakah sebenarnya yang berlaku pada hari pertabalan tersebut?

Setakat yang penulis tahu, hanya YB Dr. Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja) yang tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang disebutkan Dr. Rahman Kadir itu, yang lain masih membisu.

Perkara ini penting kerana institusi beraja adalah pelindung kepada agama Islam yang dianuti lebih 60% dari keseluruhan rakyat Malaysia. takut-takut, polemik ini berjangkit ke situ pula.

Short URL: http://www.freemalaysiakini2.com/?p=25257

Tiada ulasan:

Catat Ulasan