Rabu, 29 Februari 2012

ahli maksiat juga mempunyai timbangan undi yang sama dengan orang-orang kafir dan yang beriman

UNDI KAFIR SAMA NILAI DENGAN UNDI ISLAM

Demokrasi membawa Musibah


BismiLlaahirRahmaanirRahiim

Di dalam Al-Qur'an Al-Hakim status golongan Kafir tidak pernah disamatarafkan dengan golongan Muslimin sejak dari zaman Nabi-Nabi terdahulu 'alaihimassalam.

Bahkan sejak wujudnya makhluk-makhluk, Allah subhanahu wata'ala sudahpun membedakan di antara makhlukNya yang beriman dan yang kafir kepadaNya. Kafirnya Iblis adalah kerana sombongnya kepada Nabi Adam alaihissalam yang tergolong dari mereka yang beriman. JanjiNya kepada Iblis yang kafir itu adalah jahannam.

Di dalam demokrasi status seorang manusia Kafir dan Beriman, yakni; seorang Muslim, adalah sentiasa sama sehingga satu undi seorang Kafir adalah sama timbangan beratnya dengan timbangan undi seorang Muslim. Seorang Kafir itu pula dapat menentukan tahap kadar keIslaman dan keimanan seorang Muslim di dalam demokrasi dengan adanya kuasa undi yang dimilikinya. Ketika seseorang Muslim itu wajib untuk melaksanakan carahidup Islamnya secara keseluruhannya, sang Kafir boleh memutuskan yang sebaliknya ke atas seorang Muslim atau seluruh masyarakat Muslim.

Persoalannya bolehkah kita sebagai seorang Muslim mengizinkan keImanan dan keIslaman kita ditentukan oleh orang-orang yang kafir ?. Tidakkah ini sama seperti menyerah diri bulat-bulat kepada Iblis laknatuLlah !. Bagaimana iman kita boleh ditambah dan dikurangkan oleh orang-orang kafir yang pastinya adalah satu spesis dari spesis Iblis juga.

Bahkan, di dalam demokrasi seorang yang kurang waras, maupun ahli maksiat juga mempunyai timbangan undi yang sama dengan orang-orang kafir dan yang beriman.

Adilkah sistem sebegini ?.

Wassalam
TokPakirKD

Ahad, 5 Februari 2012

Malaysia Tidak Terjamin Bawah Anwar, sejauh mana kebenarannya?

Aidit : Malaysia Tidak Terjamin Bawah Anwar
Published by AIDC on February 5, 2012

Bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit Ghazali. 









SEORANG demi seorang rakan rapat yang satu ketika dahulu begitu memuja Datuk Seri Anwar Ibrahim, melangkah kaki meninggalkan beliau. Ezam Mohd. Nor, Chandra Muzaffar dan Zulkifli Nordin antara beberapa nama yang bertindak demikian dengan seribu satu fakta dan kenyataan kerana tidak sanggup lagi bersekongkol dalam kemungkaran.

Salah seorang rakan baik Anwar yang juga pernah menganggapnya sebagai mentor, DATUK AIDIT GHAZALI, turut mengambil tindakan sama. Dalam pertemuan di kediamannya Rabu lalu, Aidit yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND), dengan tenang menjelaskan kenapa beliau tidak lagi sanggup bersama pemimpin pembangkang itu.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia AZMAN ANUAR, NIZAM YATIM dan HAFIZAHRIL HAMID, beliau mengatakan bahawa Anwar bukan lagi seperti yang beliau kenali dahulu. Anwar baginya, bukan lagi seorang yang boleh diharapkan dari segi kewibawaan perjuangan dan pemikiran Islam.

Beliau yang pernah bergiat aktif di dalam ABIM satu ketika dahulu turut memberi sebab-sebab utama kenapa kini menolak untuk bersama Anwar, antaranya sifat kemaruk kuasa, kelonggaran pendirian dalam isu-isu berkaitan Islam dan beberapa lagi.

Selain itu beliau yang kini menjawat Pengerusi Eksekutif Akademi, Aidit turut mengungkap permasalahan perpecahan di kalangan umat Melayu/Islam, pluralisme dan gaya kepimpinan yang boleh dijadikan contoh.

Soalan: Sejak zaman mahasiswa lagi Datuk amat rapat dengan pemikiran dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengapa sekarang Datuk sangat kritikal terhadap perjuangan dan pemikirannya?

AIDIT: Zaman 1970-an dan awal 80-an adalah zaman di mana tahap idealisme Islam dalam kalangan mahasiswa serta mahasiswi Muslim di seluruh dunia Islam sangat tinggi. Pelbagai faktor menyumbang kepada fenomena ini.

Antara lain, kesan usaha dakwah pelbagai jemaah Islam yang muncul di hampir seluruh pelosok dunia Islam, krisis sistem ekonomi, politik dan pendidikan yang berasaskan nilai serta budaya Barat dan juga interaksi yang semakin rancak antara para pelajar kita yang dihantar belajar ke luar negara dengan rakan-rakan mereka dari negara-negara Islam yang lain.

Generasi muda di Malaysia termasuk saya tidak terpisah daripada arus positif ini. Maka secara logiknya, proses pencarian ilmu, wadah gerakan Islam serta contoh mithali berjalan dengan gigih. Saya diketemukan dengan sahabat-sahabat daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan turut terlibat dalam menubuhkan ABIM (United Kingdom) pada awal 1980-an.

Ketika itu Anwar ialah Presiden ABIM.

Memandangkan sifat saya yang meletakkan standard tinggi pada apa yang saya buat dan pegang dalam hidup, maka Anwar ketika itu layak menjadi contoh perjuangan saya atas kewibawaan diri yang beliau tonjolkan ketika memimpin ABIM sehingga beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan terlibat dalam peristiwa-peristiwa pasca 1998.

Tetapi sejak beberapa tahun ini, khususnya setelah PRU-12, pendirian saya mula goyah dan penuh pertanyaan apabila saya melihat dalam percaturan Anwar berlakunya:

Pertama, sifat terlalu kemaruk memegang kuasa secara pintas, dengan khabar bahawa berpuluh wakil rakyat BN akan berpaling tadah selepas PRU-12 dan baru-baru ini dengan laungan untuk menjadi Perdana Menteri walau apa pun berlaku.

Kedua, kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan DAP yang jelas tidak mahu pada negara Islam.

Ketiga, pengasingan diri ramai bekas kenalan Anwar dalam kalangan ulama, cendekiawan Islam yang saya hormati dan sahabat-sahabat karib beliau dalam pergerakan Islam.

Keempat, kelonggaran pendirian beliau berkaitan dengan isu penggunaan nama Allah, penterjemahan Bible ke Bahasa Melayu, isu LGBT, isu menjaga keselamatan Israel, kefahaman pluralisme terhadap Islam dan 

Kelima, sikap kurang tegas beliau terhadap golongan yang mencabar IMR (martabat Islam, kedudukan umat Melayu sebagai kustodian Islam di Malaysia serta pemeliharaan Institusi Raja sebagai Pelindung dan Pemayung agama Islam di Malaysia).

Sifat kompromi melampau beliau atas kepentingan politik sehingga menimbulkan kekhuatiran saya yang amat sangat bahawa masa depan Islam dan umatnya di Malaysia tidak lagi terjamin jika Anwar dan pakatan politik beliau menerajui negara.

Terhadap isu-isu moral yang didakwa disabitkan dengan beliau juga ada kesan besar kepada saya kerana sumber-sumber saya adalah daripada mereka yang mempunyai tahap integriti yang tinggi di sisi saya serta yang bukan ada kepentingan politik dan juga mereka yang satu ketika dahulu mempunyai tahap kepercayaan terhadap Anwar yang melebihi tahap saya.

Namun jiwa saya bukan jiwa menghukum. Justeru, tanpa isu-isu moral ini pun, saya sudah ada cukup asas untuk tidak lagi berpegang pada Anwar sebagai insan yang saya boleh pegang dari segi kewibawaan perjuangan dan pemikiran Islam beliau.

Saya telah capai pada peringkat ini dalam keadaan penuh kesedihan kerana satu ketika, saya sangat sanjung kemampuan dan peribadi beliau.

Soalan: Anwar dikatakan mendukung fahaman pluralisme yang kelihatan bercanggah dengan fahaman arus perdana ahli Sunah Wal Jamaah. Apa pandangan Datuk mengenai aliran fahaman sebegini dan kesannya kepada akidah umat?

AIDIT: Fahaman pluralisme yang meletakkan kesucian dan kebenaran agama Islam pada tahap sama dengan agama-agama serta kepercayaan lain adalah kefahaman yang jelas sesat. Ia boleh menggegarkan syahadah seseorang Muslim kerana ia seolah-olah mempersoalkan martabat Islam sebagai satu-satunya agama yang benar di sisi Allah.

Ucapan Anwar satu ketika dahulu di United Kingdom berkaitan pluralisme kononnya di hadapan audiens yang bukan Muslim dan wajarlah kononnya beliau membawa pandangan yang melihatkan sifat keterbukaan seorang Muslim.

Tetapi pada saya, ada perkara yang kita boleh kompromi dan ada perkara pokok yang kita tidak boleh langsung berkompromi, lebih-lebih lagi jika ia disabitkan hal akidah (pegangan agama Islam) dan soal Syariah yang jelas hukumnya.

Jika seseorang itu sudah mula berkompromi satu hal pokok, maka kekhuatiran saya adalah ia akan sanggup melonggarkan hal-hal pokok yang lain sehingga nanti seluruh akar Islam itu tercabut dan mungkin diganti dengan baja pemikiran, benih kefahaman dan pokok pegangan yang langsung tidak ada sifat Islam.

 

Justeru perjuangan saya dalam agenda IMR adalah supaya jangan nanti nasi jadi bubur, jangan sehingga menangis tak berlagu tentang akibat pada Islam dan umatnya dan jangan pula saya kesal kemudian akibat berdiam diri yang tidak kena pada tempatnya.

Umat Islam yang kurang faham implikasi halus yang dibawa oleh fahaman pluralisme akan mula nanti membelai sifat berkompromi dengan tuntutan agama Islam dalam hidup kita; mereka akan berjinak dengan sifat liberal dan tuntutan yang haram boleh jadi halal dan yang halal boleh ditegah, serta macam-macam lagi pemikiran yang kabur kerana pegangan kita pada agama yang satu sudah dicairkan.

Soalan:  Perpecahan kalangan umat Islam di Malaysia amat membimbangkan. Apakah faktor yang menyebabkan ia berlaku dan mungkin ada jalan keluar darinya?

AIDIT: Pelbagai analisis tentang perpecahan umat Islam telah dikupas oleh pihak-pihak lain. Kebanyakannya ada asasnya. Saya tidak berniat untuk mengulanginya. Tetapi faktor-faktor yang paling ketara saya yakini menjadi penyebab pada hari ini adalah lima yang utama.

Pertama, tahap ilmu dan kemahiran untuk menilai sesuatu perkara termasuk maklumat yang diterima, secara waras, bijaksana, berfikiran panjang dan menyeluruh.

Kedua, ketandusan ikon-ikon insan atau manusia-manusia yang boleh masyarakat jadikan ikutan dan rujukan yang diyakini tidak berbelah bagi dan yang bersifat adil serta membina dalam penilaian mereka.

Ketiga, masalah ketaksuban yang amat sangat dalam kalangan sebahagian masyarakat terhadap tokoh-tokoh kesayangan mereka dan wadah pilihan mereka sehinggakan ketaksuban kepada Allah dan Rasul-Nya, serta ketaksuban terhadap kebenaran telah diketepikan tanpa sedar.

Keempat, suasana yang tidak kondusif pada perpaduan akibat budaya menghasut, berdendam dan takbur bahawa diri mereka yang benar dan 

Kelima, kurangnya alternatif atau pilihan bagi umat Islam yang kecewa dan seolah-olah hilang harapan pada wadah-wadah sedia ada.

Penyelesaiannya adalah supaya kita tinjau serta kaji sedalam-dalamnya punca pada faktor-faktor ini dan kita selesaikan pada punca-punca. Yang penting kita berusaha secara sistematik dan berterusan. Soal bila kita berjaya jangan kita jadikan desakan utama kerana itu urusan Allah.

Saya juga tidak mahu terperangkap dalam membuat kerja secara gopoh sehingga mengorbankan kualiti dan berkat Allah dalam perjuangan saya.

Soalan:  Pada pandangan Datuk gaya kepimpinan yang bagaimana seharusnya menjadi sumber ikutan dan teladan dalam realiti masyarakat berbilang kaum dan agama?

AIDIT: Sebenarnya, jika kita memahami Islam secara menyeluruh serta kandungan al-Quran, sunah Rasulullah, sejarah hidup para ulama dan tokoh Islam serta hakikat bahawa pintu ijtihad tidak ditutup, soal masyarakat majmuk ini bukan faktor besar.

Madinah yang dijadikan sebagai contoh negara Islam pertama pun bukan semua warganya beragama Islam. Justeru, masyarakat yang sama ada keseluruhannya umat Islam atau bersifat majmuk berkehendakkan gagasan kepemimpinan yang boleh memberi mereka keyakinan, harapan, pengukuhan, bimbingan serta jawapan pada pelbagai kemelut dan cabaran.

Dalam konteks ini, saya melihat bahawa belum ada seorang yang boleh sampai pada tahap itu. Yang kita perlu adalah gagasan kepemimpinan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Justeru jika sesebuah negara itu mempunyai seorang pemimpin utama, maka amat penting sekali mereka yang di kelilingnya mestilah mereka yang juga mencerminkan tahap kepemimpinan tinggi, khusus dari segi kemahiran, ilmu, integriti, moral, amal ibadat, niat suci, rekod prestasi, hubungan masyarakat, jiwa murabbi, rekod prestasi, pergaulan, wawasan dan gagasan mentor yang hebat.

Jika budaya kita tidak menjurus ke arah formula ini, maka kita mesti bergerak ke arahnya sebelum terlambat.

Soalan:  Anwar dikatakan membuat kenyataan kontroversi mengenai Israel yang disiarkan dalam Wall Street Journal. Apa pandangan Datuk dalam konteks sikap politik yang diambil dan kesannya terhadap perjuangan umat Palestin?
   

AIDIT: Kenyataan Anwar itu memang langsung tidak boleh diterima, walau apa pun alasan beliau. Israel adalah sebuah negara yang kewujudannya dari segi Islam adalah haram.

Warganya kebanyakan berjiwa Zionis yang jelas bermusuh dengan Islam. Rekod rejim Zionis juga terkenal dengan kezaliman bersifat Firaun terhadap umat Islam di Palestin. Jadi untuk membuat kenyataan itu walau atas kepentingan apa sekalipun tidak boleh diterima.

Ia ibarat mencurah air garam yang sedang menggelegak panasnya ke atas luka yang masih berdarah dengan isi badan terdedah.

Mereka yang diam seribu bahasa termasuk rakan-rakan Anwar yang sering berhujah tentang kezaliman Zionis dan memperjuangkan umat Islam Palestin mesti bersuara untuk membuat pendirian. Ini yang saya lihat adalah ujian asid sama ada taksub kita pada Allah dan kebenaran atau taksub kita pada manusia?

Pendirian kita terhadap perkara-perkara yang mencabar Islam dan umatnya seperti yang saya sebutkan awal tadi juga adalah ujian asid dari segi di mana terletak prinsip kita. Kita mesti ingat bahawa manusia tidak sempurna.

 

Janganlah disamakan kesempurnaan Allah dengan kehebatan mana-mana manusia sehingga kita sanggup menggadai agama sendiri demi kepentingan politik duniawi dan keseronokan sementara.

Soalan:  Sebahagian besar penganalisis berpendapat bahawa masyarakat Islam di Malaysia kini berhadapan dengan masalah persepsi. Apa pendapat Datuk terhadap perkara ini?

AIDIT: Saya amat bersetuju dengan pandangan ini. Memang kita kini dibelenggu dengan masalah persepsi. Masalah ini bersifat akumulatif, yakni telah membesar dengan peralihan masa dan tidak diatasi ketika ia masih kecil.

Antara penyebabnya adalah pengalaman buruk masyarakat dengan pihak-pihak yang berkepentingan secara tidak beretika, kawalan emosi yang diganggu dengan budaya menghasut, budaya fitnah dan budaya agresif yang bertentangan dengan nilai serta tata susila hidup kita, termasuk apa yang berlaku di sebahagian masjid, surau dan kebanyakan laman sesawang dan blog/facebook dalam Internet; ketaksuban yang pada tahap melampau terhadap tokoh dan wadah sehingga maklumat yang sahih pun ditolak jika mencemarkan tokoh dan wadah mereka; ketandusan pilihan-pilihan lain bagi mereka yang kecewa; realiti ibarat mencurah air di daun keladi dengan satu pihak ada yang membuat baik dan di satu pihak pula ada yang membuat perkara-perkara yang mencairkan usaha baik; kurang usaha turun ke akar umbi dengan penuh tawaduk dan ikhlas serta tidak bermusim; dan akhir sekali, kurang mencari berkat Allah dalam apa yang kita buat.

Namun, kita jangan pasrah. Kita mesti kuasai profil masalah persepsi ini secara lengkap dan mendalam. Sesuaikan penyelesaian pada kelompok-kelompok yang terlibat. Dekati mereka tanpa prejudis dan pasrah.

Jadi contoh yang baik dari segi perlakuan kita sendiri dan yakin pada takdir Allah untuk membuka hati mereka yang Allah pilih. Pastikan ahli-ahli keluarga kita dahulu yang kita bimbing sebelum kita nak bimbing orang lain. Jangan lupa doa berterusan.

Dan akhir sekali, mesti rasa seronok buat kerja perjuangan supaya tahap pengorbanan kita bukan dijana oleh kepentingan material dan duniawi tetapi dipacu dengan sifat cinta pada agama Islam, umatnya, Institusi Raja sebagai pelindung agama Islam dan hasrat kita untuk membuktikan kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia ini bahawasanya umat Islam memang umat terbaik di sisi Allah – Mingguan Malaysia