بسم الله ما شاء الله لا يسوق الخير الا الله
بسم الله ما شاء الله لا يصرف السو ء الا الله
بسم الله ما شاء الله ما كان من نعمة فمن الله
بسم الله ما شاء الله لا حول و لا قوة الا بالله
Khamis, 17 September 2015
بسم الله ما شاء الله
Dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahwa Nabi Khidir dan Nabi Ilyas berjumpa pada tiap-tiap tahun di Mina (Saudi Arabia). Mereka saling mencukur rambutnya secara bergantian. Kemudian mereka berpisah dengan mengucapkan kalimat:
Maka barangsiapa mengucapkan kalimat-kalimat ini pada waktu pagi dan petang, maka ia akan terselamat dari tenggelam, kebakaran, pencurian, syaitan, sultan yg zalim, ular, dan kalajengking.
Khamis, 13 Ogos 2015
Semua kawasan perumahan awam dipastikan tidak mempunyai penduduk Melayu melebihi 20%
Kenapa Singapura Lebih Maju?
Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Namun begitu, masih kedengaran kata-kata segelintir rakyat kita yang mempersoalkan mengapa negara kita masih ketinggalan berbanding negara-kota tersebut. Hujah yang biasa dimainkan pada setiap tahun, Singapura tidak mempunyai sumber asli tetapi mampu lebih maju berbanding negara kita.
Membandingkan Malaysia dengan Singapura adalah tidak adil kerana ianya bukanlah perbandingan epal dengan epal. Benar, Singapura tidak mempunyai sumber asli. Tetapi Republik berkenaan juga bukanlah wujud mulai tahun 1965 dengan hanya mempunyai perkampungan nelayan yang dihuni bot-bot tunda dan ditumbuhi pokok-pokok kelapa semata-mata. Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak merdeka sebenarnya telah mewarisi sebuah koloni jajahan Mahkota British yang telah ditadbir dan dijaga rapi oleh penjajah British. Selain menjadi pusat pentadbiran iaitu bagi negeri-negeri Selat (Straits Settlement) serta pangkalan tentera laut British bagi wilayah Asia timur, Singapura juga merupakan pusat pentadbiran ‘de facto’ British bagi jajahannya di semenanjung Tanah Melayu dan Borneo. Disebabkan lokasinya yang strategik, Singapura telah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan juga pusat kewangan lebih awal sebelum kemerdekaannya. Ketika Singapura mendapat taraf pemerintahan sendiri, menyertai Malaysia dan kemudian disingkir keluar, Singapura memang telah sedia maju berbanding Malaya.
Segelintir rakyat negara kita yang suka membuat perbandingan juga gemar meminta agar kita mencontohi Singapura yang berjaya mewujudkan rakyat yang bersatu berlandaskan prinsip meritokrasi untuk berjaya. Tetapi bagi penulis, mereka ini (rakyat kita yang gemar membuat perbandingan) sebenarnya hipokrit kerana tidak pula meng’highlight’kan bagaimana kaedah yang digunakan Singapura untuk mewujudkan perpaduan dan kestabilan politik kerana sedar perkara tersebut akan‘backfire’ mereka kembali. Sekiranya benar mereka ikhlas meminta negara kita untuk mencontohi Singapura agar lebih maju, terlebih dahulu mereka harus meneliti beberapa perkara berikut :
1. Mewujudkan Sekolah Satu Aliran
Walaupun kaum majoriti di Singapura adalah Cina, tetapi pemimpin agung mereka iaitu Lee Kuan Yew dengan tegas telah bertindak menutup Sekolah-sekolah Vernakular Cina hinggalah kepada Institusi Pengajian Tinggi Cina yang wujud seperti Universiti Nanyang. Namun begitu, perkara inilah yang sering cuba ditutup oleh para pemuja Lee Kuan Yew di negara kita. Dengan hanya mempunyai sekolah satu aliran, republik berkenaan telah berjaya memupuk perpaduan rakyatnya sejak di bangku sekolah lagi agar berfikir dan bersatu sebagai rakyat Singapura.
Tetapi di negara kita, mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular sahaja sudah boleh menyebabkan risiko seseorang politikus kehilangan undi. Sedangkan jika dirujuk keputusan kes PP v Mark Koding, mahkamah telah memutuskan bahawa ‘there is nothing in proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools’.
Jadi bagaimanakah negara kita mampu mencontohi Singapura untuk mewujudkan rakyat kita yang berfikir dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia sekiranya sejak dibangku sekolah lagi kita telah dididik dan dibesarkan dalam suasana dan pembelajaran yang berbeza-beza?
2. Ketiadaan Pembangkang Yang Kuat
Sejak Singapura disingkirkan dari Malaysia pada tahun 1965, tidak ada seorang pun daripada kalangan parti pembangkang yang berjaya memenangi kerusi di Parlimen Singapura. Oleh yang demikian, pemerintah PAP Singapura dapat memberi tumpuan penuh kepada aspek membangunkan negara tersebut tanpa perlu membazirkan banyak masa melayan karenah politik pembangkang. Hanya sehingga tahun 1981, barulah seorang tokoh pembangkang iaitu J.B. Jeyaratnam mencipta sejarah sebagai pembangkang pertama yang dipilih ke Parlimen Singapura. Namun begitu, menjadi rahsia umum bahawa tokoh-tokoh pembangkang di Singapura tidak memiliki kebebasan mutlak sebagaimana di negara kita dan setiasa berhadapan dengan ancaman saman daripada pemerintah. Agak melucukan apabila republik berkenaan kemudian terpaksa menggubal dasar untuk ‘melantik’ anggota pembangkang menerusi Non-constituency Members of Parliament (NCMPs) pada tahun 1984 dalam memastikan sekurang-kurangnya terdapat 9 anggota pembangkang di Parlimen.
Bandingkan dengan negara kita, berapa banyak masa telah terbuang hanya untuk menjawab persoalan pembangunan sebuah kilang Nadir Bumi yang telah diputarbelitkan kononnya sebuah reaktor nukleur oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab? Begitu juga dengan pembinaan sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru, lapangan terbang antarabangsa baru, litar perlumbaan antarabangsa dan sebagainya ketika cuba dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya di era Tun Dr. Mahathir dahulu. Hari ini, pihak yang dahulunya menentang keras pembinaan Jambatan untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai dengan mendakwa ianya sebagai pembaziran, bukan sahaja merasakan dua jambatan sedia ada tidak cukup, bahkan ingin menambah lagi sebuah terowong apabila mendapat kuasa! Jadi tolong berhenti bertanya sebab mengapa negara kita lambat membangun berbanding Singapura!
3. Kaum Majoriti Yang Dominan
Di Singapura, kaum majoritinya iaitu kaum Cina membentuk hampir 75% daripada keseluruhan penduduknya dengan kaum majoriti yang sama ini juga telah menguasai hampir keseluruhan bidang pentadbiran negara, politik serta ekonomi sejak sebelum kemerdekaannya lagi. Oleh yang demikian, Singapura bukanlah sebuah negara ‘berbilang-kaum’ dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Kaum minoriti pribumi seperti Melayu pula telah dilemahkan kuasa politiknya. Menerusi penguatkuasaan sistem Kuota Etnik Kediaman mulai tahun 1989, semua kawasan perumahan awam dipastikan tidak mempunyai penduduk Melayu melebihi 20%, seterusnya menyebabkan tiada satu kawasan Parlimen pun di Singapura yang majoriti pengundinya adalah kaum minoriti. Jangan dilupakan juga bahawa bukan semua rakyat Singapura adalah penduduk asal sebagaimana sewaktu kemerdekaannya. Ini kerana bagi memastikan kaum Cina kekal sebagai majoriti, Singapura sentiasa mengimport ‘bakat’ (talent) yang majoritinya datang dari Hong Kong, Taiwan, Macao dan Republik Rakyat China sendiri atas alasan menjaga ‘keseimbangan’ rakyat republik berkenaan.
Bandingkan dengan keadaan negara kita. Negara kita merupakan sebuah negara yang benar-benar pelbagai kaum kerana jumlah kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera adalah hampir seimbang. Namun begitu, antara Bumiputera dan bukan Bumiputera ini sendiri kita terdiri daripada pelbagai kaum yang sama sekali berbeza bahasa, budaya dan agama antara satu sama lain seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak, Melanau, Kadazan-Dusun-Murut, Bajau, Cina, India dan lain-lain. Namun begitu, pemilikan dan agihan kekayaan penduduknya adalah tidak setara antara kaum. Justeru itu, tidak seperti Singapura, setiap dasar dan polisi pembangunan yang diambil oleh Kerajaan negara kita perlu dilaksanakan dengan cukup berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti semua penduduknya khususnya daripada kumpulan kaum minoriti.
Kesimpulannya, memajukan sebuah bandaraya yang telah sedia membangun tidak boleh disamakan dengan cabaran membangunkan sebuah negara yang benar-benar multi-etnik dan secara geografinya terpisah pula oleh oleh Laut China Selatan. Sekiranya benar kita ingin mencontohi Singapura untuk maju, adakah golongan yang mengakuMalaysian First ini akan menyokong pembentukan Sekolah Satu Aliran? Rasanya mereka sendiri sedar bukan semua acuan pembangunan mengikut model Singapura bersesuaian untuk dilaksanakan di negara kita.
Namun begitu, tidak dinafikan terdapat beberapa aspek yang boleh dipelajari daripada republik berkenaan. Antaranya adalah mewajibkan program kerahan tenaga/khidmat negara bagi melahirkan rakyat yang berdisiplin, dasar dan usaha membasmi amalan rasuah, tegas terhadap institusi yang memanipulasi agama, pembangunan bandar dan perumahan yang terancang dan sebagainya. Namun begitu, dalam memandang kepada kemajuan negara luar, janganlah kita bertindak sehingga ke tahap memburukkan dan menjatuhkan maruah tanahair sendiri.
Posted by Ibnu Rusydi at 4:32 PM
Langgan:
Catatan (Atom)